Posted by : HAIRUL ANUAR Friday, 14 February 2014

UCAPAN MENTERI PENGAJIAN TINGGI DI MAJLIS HARI INOVASI @ MOHE

Posted in: Ministry of Higher Education on April 26, 2011
UCAPAN
MENTERI PENGAJIAN TINGGI MALAYSIA
YB DATO’ SERI MOHAMED KHALED NORDIN
MAJLIS HARI INOVASI @ MOHE
KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI
DI PUTRAJAYA INTERNATIONAL CONVENTION CENTRE (PICC)
25 APRIL 2011, ISNIN, JAM 9.00 PAGI


Assalamualaikum wrt. wbt, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia,

1.    Pertamanya, sukalah saya melafazkan setinggi kesyukuran ke hadrat Allah Taala kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya, maka dapatlah saya bersama-sama hadir pada pagi ini ke majlis Hari Inovasi @ MOHE di hari yang berbahagia ini. Saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan berbanyak terima kasih kepada pihak penganjur kerana telah sudi menjemput saya seterusnya melancarkan majlis kita pada pagi ini.

2.    Saya menyifatkan Majlis Hari Inovasi @ MOHE hari ini yang terdiri daripada pelancaran Pelan Pembangunan Modal Insan Inovasi, Penyampaian Tawaran Pembiayaan Pengajian Program MyBrain 15 dan Anugerah Inovasi Kementerian Pengajian Tinggi adalah tepat pada masanya kerana ia selari dengan peranan kritikal sektor pengajian tinggi khususnya kementerian dalam menjayakan agenda inovasi negara. Malah, rangkuman tiga agenda besar dalam satu majlis pada hari ini, jelas menggambarkan komitmen dan iltizam yang tinggi oleh Kementerian Pengajian Tinggi dalam menjuarai usaha-usaha memartabatkan inovasi di negara. Dalam masa yang sama, ia juga bermakna, kementerian telah bersedia sepenuhnya untuk menggerakkan perancangan dan program-program yang disusun untuk membantu negara mencapai hasrat sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020, Insya Allah.

Tuan-tuan dan Puan-puan,
(JURANG INOVASI DAN KEPERLUAN KEPADA MODAL INSAN INOVASI)

3.    Untuk berdaya saing dan terus kekal kompetetif, Malaysia perlu gigih menyubur dan mempertingkatkan ekonomi negara demi kesejahteraan rakyat dan generasi masa depan. Dalam hal ini, inovasi telah dijadikan mauduk utama dalam usaha kita mentransformasikan negara dari tahap ekonomi pendapatan sederhana kepada yang berpendapatan tinggi. Keupayaan Malaysia menghasilkan modal insan terlatih yang boleh menghasilkan inovasi dalam teknologi, proses dan sistem kerja amat diperlukan bagi memacu ekonomi negara ke tahap yang lebih tinggi.
4.    Untuk makluman tuan-tuan dan puan-puan, National Innovation Model atau Model Inovasi Negara yang dibentuk melalui Majlis Inovasi Negara pada tahun 2007, telah memutuskan perlunya kerajaan mentransformasikan pembangunan ekonomi negara  berasaskan inovasi dan kreativiti. Untuk mencapai hasrat ini, fokus perlu diberikan kepada usaha memperkasa modal insan yang bukan sahaja mempunyai kepakaran bidang sains dan teknologi, malah melonjakkan mereka ke tahap yang membolehkan mereka produktif berasaskan inovasi dan ciri keusahawanan.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

5.    Tidak dinafikan, keperluan untuk membangunkan modal insan inovasi di negara semakin mendesak. Apatah lagi, kita harus akui bahawa terdapat beberapa faktor yang dikenalpasti telah mengehad dan memperlahankan pembangunan modal insan inovasi sekaligus menyumbang kepada jurang inovasi di negara. Faktor-faktor itu adalah berkaitan dengan :
a. kualiti modal insan inovasi;
b. bekalan modal insan inovasi dan
c. kesukaran memasarkan idea dan hasil inovasi ke pasaran tempatan.
6.    Tiga faktor tersebut didorong oleh beberapa isu antaranya seperti kelemahan kurikulum dalam aspek inovasi dan kreativiti, kekurangan jumlah critical mass yang berpengetahuan tinggi, jumlah yang rendah dalam paten dan pengkomersilan serta daya keusahawanan yang rendah di samping hubungan yang tidak kukuh antara academia dan industri. Pendek kata, faktor-faktor ini telah mewujudkan jurang yang signifikan dan menjadi penghalang kepada usaha kita menjadikan inovasi sebagai tunjang pembangunan dan kemajuan negara.
7.    Sehubungan dengan itu, satu pelan yang komprehensif dan teliti bagi membangunkan modal insan inovasi perlu digubal dan dalam hal ini, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah diberikan amanah dan tanggungjawab untuk membuat kajian dan seterusnya menyediakan Pelan Pembangunan Modal Insan Inovasi. Pelan ini mempunyai matlamat yang cukup besar dan ia diharap dapat menutup jurang inovasi sedia ada, mencipta ekosistem inovasi yang kondusif sekaligus membantu negara menjayakan ekonomi berasaskan inovasi ke arah negara maju berpendapatan tinggi.
Tuan-tuan dan Puan-puan,

(PELAN PEMBANGUNAN MODAL INSAN INOVASI)


8.    Secara umum, Pelan Pembangunan Modal Insan Inovasi yang bakal kita lancarkan hari ini merupakan satu dokumen yang sangat penting untuk memangkinkan pencetusan aktiviti inovasi daripada aspek pembangunan modal insan yang kreatif dan inovatif. Ia mengandungi 45 strategi, 112 pelan tindakan, 108 petunjuk prestasi utama (KPI), selain ditunjangi oleh 12 dimensi tonggak utama iaitu :
8.1 Dasar Inovasi Negara;
8.2 Kesedaran dan penghayatan rakyat terhadap inovasi;
8.3 Modal insan berkompetensi;
8.4 Pemikiran kritis;
8.5 Kebolehlaksanaan dan dorongan pasaran;
8.6 Pengkomersilan harta intelek;
8.7 Perkongsian profesional;
8.8 Inkubator bagi aktiviti pra-pengkomersilan;
8.9 Penyediaan, akses dan kemudahan ICT;
8.10 Iltizam politik;
8.11 Pelabur utama dan modal teroka dan
8.12 Pendaftaran dan pemilikan harta intelek.

9.    Apa yang menjadi kekuatan kepada Pelan Pembangunan Modal Insan Inovasi ini ialah ia bukan sahaja melibatkan komitmen dan peranan daripada Kementerian Pengajian Tinggi, tetapi turut dijayakan oleh 12 agensi utama termasuk Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Sumber Manusia (KSM), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Unit Perancangan Ekonomi (EPU), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA), Perbadanan Harta Intelek Negara (MyIPO) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC). Ini bermakna pelan ini mempunyai kekuatan yang tersendiri kerana ia digerakkan melalui proses konsultatif pelbagai agensi kerajaan yang pastinya akan mencetuskan satu ekosistem dan persekitaran yang amat kondusif dalam menjana modal insan inovasi seperti yang diharapkan.

Tuan-tuan dan Puan-puan,
(MENDUKUNG HASRAT EKONOMI BERASASKAN INOVASI)

10. Kejayaan dan keberkesanan Pelan Pembangunan Modal Insan Inovasi ini bergantung kepada sejauhmanakah kita mampu memenuhi dan mencapai 108 Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang telah digariskan. Dalam hal ini, peranan IPT khususnya universiti amat besar untukmemperhebat dan memperkukuhkan lagi aktiviti penyelidikan dan pengkomersilan di IPT. Ini dapat dilihat daripada beberapa KPI yang boleh disumbangkan melalui universiti iaitu:
a) Pemerkasaan ilmu melalui peningkatan bilangan pasca doktoral, pelajar pasca-siswazah  dan usahawan siswa;
b) Pengukuhan inovasi di mana 20 peratus pensyarah, 80 peratus pelajar pra dan pasca-siswazah mendapat pendedahan kepada selok belok ekosistem inovasi dan keusahawanan;
c) Lonjakan aktiviti pemindahan teknologi berasaskan peningkatan bilangan paten yang difailkan, iaitu 1000 paten yang menyumbang kepada ekonomi berasaskan inovasi;
d) Memperkukuh pakatan pintar antara IPT /kolej  dan IKS bagi menjalin kerjasama erat dalam pemindahan ilmu dan teknologi, disasarkan 80 peratus EKS terlibat dengan setiap IPT;
e) Memacu hasil penyelidikan ke pasaran melalui peningkatan peratus produk yang dikomersilkan iaitu dari lima peratus kepada sembilan peratus dan
f) Pengwujudan industri baharu melalui inkubator dan syarikat terbitan universiti dimana setiap IPTA berjaya menubuhkan antara 10 hingga 20 syarikat terbitan universiti bagi mengkomersilkan harta intelek.
11. Bagi menyemarakkan lagi ekonomi berasaskan inovasi di Malaysia, pelan ini turut mensasarkan KPI supaya kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan atau GLC perlu menetapkan polisi mengutamakan pembelian produk hasil penyelidikan dan inovasi tempatan. Selain itu, Kementerian Pengajian Tinggi sendiri akan membangunkan polisi untuk membantu penubuhan syarikat-syarikat terbitan universiti bagi tujuan pengkomersilan produk tempatan. KPT sendiri akan menyediakan dana sekitar RM1 juta sebagai insentif penggalakan aktiviti pengkomersilan dan inovasi.

12. Selain itu, pelan ini dijangka akan menyaksikan pemantapan peningkatan lebih ramai modal insan berpengetahuan tinggi yang boleh menjana sumber kekayaan (wealth) berasaskan inovasi sekaligus memastikan Malaysia terus lestari dan berdaya saing.Mengikut KPI yang telah ditetapkan, kita memerlukan sekurang-kurangnya jumlah penyelidik, saintis dan jurutera (RSE) dalam pada 50 per 10,000 tenaga kerja menjelang tahun 2020. Melalui program MyBrain 15, menjelang tahun 2015 nanti, seramai 5000 graduan akan dapat dihasilkan dalam projek MyPhD selain 40,000 orang graduan untuk projek MyMaster, 500 orang graduan untuk PhD Industri dan 9,700 orang graduan untuk Skim Latihan Akademik IPTA (SLAI).

13. Saya difahamkan, sejak program pembiayaan  MyBrain 15 ini dilancarkan Disember yang lalu dan sehingga 25 Mac 2011, sebanyak 2,122 permohonan telah diluluskan. Daripada jumlah itu, 329 permohonan dalam program MyPhD, 1,755 permohonan dalam program MyMaster dan 38 permohonan dalam program Phd Indutsri. Saya berharap, jumlah permohonan yang berjaya ini dapat dipertingkatkan lagi pada masa akan datang kerana sasaran kita bagi tahun 2011 ialah 650 permohonan yang diluluskan untuk program MyPhd, 8,000 permohonan MyMaster dan 100 permohonan untuk PhD Industri. Pada majlis hari ini, Kementerian akan menyampaikan surat tawaran kepada mereka yang telah berjaya menerima tawaran pembiayaan bagi program MyPhd dan MyMaster. Tahniah saya ucapkan.

14. Seluruh program pembiayaan ini adalah sejajar dengan usaha Kementerian untuk melahirkan lebih ramai bilangan pemegang Ijazah Sarjana Kedoktoran (PhD) sebagai pemacu ke arah negara berasaskan inovasi. Melalui program PhD Industri misalnya ia berupaya meningkatkan kerjasama penyelidikan antara universiti dan industri tempatan sekaligus menambah nilai terhadap produk tempatan yang dihasilkan.

Tuan-tuan dan Puan-puan
(MENJANA GRADUAN DAN BAKAT YANG UNGGUL)
15. Tidak dinafikan, penjanaan modal insan yang berinovatif harus bermula daripada awal lagi dan dalam konteks sektor pengajian tinggi, ia mestilah diperkukuhkan di kalangan pelajar IPT dan kolej tertiaryJusteru itu, Pelan Pembangunan Modal Insan Inovasi ini memberi fokus kepada kualiti modal insan inovasi melalui KPI PENAMBAHBAIKAN KURIKULUM yang diajar agar dapat melahirkan graduan yang celik inovasi, mempunyai kemahiran penyelidikan, menyelesaikan masalah serta berdaya usahawanan. Pendek kata, pengisian kurikulum dengan elemen inovasi ini akan melahirkan generasi graduan yang berupaya mencetuskan idea dan memiliki upaya inovasi yang tinggi, sekaligus bersedia menangani dan mendepani apa jua isu atau cabaran.


16. Selain itu, bagi melahirkan graduan yang berfikiran kritis dan inovatif, jumlah masa mengajar oleh pensyarah dalam kuliah akan dikurangkan, sebaliknya masa yang lebih optima diberikan kepada Masa Pembelajaran Pelajar atau Student Learning Time (SLT).Ini akan menjadikan para pelajar lebih bebas dalam memberi idea dan mencerakin isu-isu pembelajaran secara sendiri tanpa kawalan pensyarah masing-masing.

17. Proses melahirkan graduan yang inovatif amat bergantung kepada keupayaan dan tahap ilmu yang tinggi oleh tenaga pengajar. Sehubungan dengan itu, Pelan Pembangunan Modal Insan Inovasi ini juga mensasarkan KPI iaitu SEKURANG-KURANGNYA 40 PERATUS TENAGA PENGAJAR DI INSTITUSI PENDIDIKAN TEKNIKAL DAN VOKASIONAL KHUSUSNYA MEMPUNYAI TAHAP PENDIDIKAN DI PERINGKAT PASCA SISWAZAH. Hasrat ini sebenarnya relevan dengan usaha kerajaan melalui MyBrain 15 untuk mensasarkan sejumlah 60,000 pemegang PhD menjelang tahun 2023 atau selanjutnya dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke Dua Belas (RMKe-12).



Tuan-tuan dan puan-puan,
(ANUGERAH INOVASI KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI)

18. Selain Pelancaran Pelan Pembangunan Modal Insan Inovasi dan Penyampaian Tawaran Pembiayaan Pengajian melalui Program MyBrain 15, hari ini kita juga meraikan Hari Inovasi di peringkat Kementerian Pengajian Tinggi.  Dalam memperkukuhkan nilai dan budaya kualiti serta inovasi di kalangan warga kementerian ke arah peningkatan kualiti perkhidmatan, kementerian telah pun mengambil inisiatif dengan mengadakan Anugerah Inovasi Peringkat Kementerian Pengajian Tinggi  yang melibatkan semua IPTA, Politeknik, Jabatan, Bahagian dan Agensi di bawahnya. Saya difahamkan, sebanyak 47 pencalonan telah diterima untuk anugerah ini dan tiga pemenang akan diumumkan sebentar sahaja lagi. Kepada mereka yang bernasib baik pada hari ini, saya ucapkan tahniah terlebih dahulu.

19. Akhir kata, sekali lagi saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua yang telah menjayakan Majlis Hari Inovasi @ MOHE pada hari ini. Sama-samalah kita berdoa agar setiap apa yang kita rencanakan ini memenuhi apa yang dihasratkan dalam usaha menjayakan impian Malaysia menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi. Saya juga berharap Pelan Pembangunan Modal Insan Inovasi yang kita lancarkan hari ini ini akan dapat memenuhi semua matlamat yang telah ditetapkan dan menutup jurang inovasi sedia ada. Dengan kata-kata itu, saya dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, merasmikan Hari Inovasi @ MOHE. Sekian dan terima kasih.
http://khalednordin.com/?p=974

Leave a Reply

Subscribe to Posts | Subscribe to Comments

Welcome to My Blog

RUANG SEMBANG

Blogger templates

Powered by Blogger.

You can replace this text by going to "Layout" and then "Page Elements" section. Edit " About "

Followers

About Me

My photo
PENGETUA: Pn Hjh Nozli Hanim Md Shariff ***** GURU PERPUSTAKAAN DAN MEDIA: Encik Abdul Rahman Bin Muhydin ***** GURU PENYELARAS BESTARI/ICT: Encik Hairul Anuar Bin Sobikin ***** SETIAUSAHA UNIT ICT: Puan Salehhah Binti Khairuddin ***** GURU PENASIHAT KELAB MULTIMEDIA: Encik Yusman Khairi Bin Yusoff ***** GURU PENASIHAT KELAB KOMPUTER: Cik Norsuria Binti Parman ***** GURU PENYELARAS KELAS LITERASI ICT: Puan Rayyan Afni Binti Shahiran ***** GURU PENYELARAS FROG VLE: Cik Nadia Binti Dany Goh *****GURU PENYELARAS PROGRAM KHAS ICT: Pn Nor Izzah http://cyberconventpro.blogspot.com smkconventbp@gmail.com

Archives

- Copyright © INOVASI.CBP -Robotic Notes- Powered by Blogger - Designed by Johanes Djogan -